PADA Lailatul Qadar Allah menyuruh Jibril turun ke bumi. Lalu turun Jibril dengan perhimpunan malaikat ke bumi bersamanya bendera hijau. Lalu dipacakkan di atas Kaabah, baginya 600 sayapnya, setengahnya tiada dibuka kedua-dua sayapnya, melainkan pada malam al-Qadar baru dibukakan kedua-duanya. Sayap itu hingga sampai dari timur ke barat (masyrik ke Maghrib) untuk menyelamatkan umat Muhammad. Lalu, mereka memberi salam kepada setiap orang yang berjaga pada Lailatul Qadar beribadat kerana mencari keredaan Allah. Begitu juga kepada orang yang duduk beribadat, sembahyang, berzikir dan berjabat tangan sesama mukmin serta mengucap amin doa orang mukmin hingga terbit fajar Subuh. Bertanya malaikat kepada Jibril: "Apakah Allah berikan pada hajat orang mukmin daripada umat Muhammad pada Ramadan ini." Jawab Jibril: "Bahawasanya Allah menilik kepada umat Muhammad yang berpuasa dan beribadat kepada-Nya dan dimaafkan mereka, diampunkan dosa mereka, melainkan empat orang yang tiada diampunkan dosanya, iaitu:
1. Orang yang kekal minum arak
2. Derhaka kepada ibu bapanya
3. Memutuskan silaturahim
4. Tidak bercakap dengan saudaranya lebih daripada tiga hari.